Order banyak-banyak, kemudian ‘ghaib’! Rider bergegas hantar makanan terdiam tengok harga lebih RM100 – “Saya dipertemukan dengan orang yang memerlukan”

GARA-gara pelanggan tidak dapat dihubungi, seorang penghantar makanan berputih mata apabila pesanan tersebut terpaksa dibatalkan.

Menerusi klip video menerusi aplikasi TikTok yang kini tular, pemuda berkenaan meluahkan kekecewaannya mengenai pesanan pelanggan berharga lebih RM100.

Berhenti di tepi jalan di tengah panas terik, dia kemudian membuka kotak penghantarannya bagi menunjukkan pesanan pelanggan berkenaan yang begitu banyak.

Berkongsi pengalaman itu kepada mStar, penghantar makanan tersebut, Anas Mansor berkata, kejadian berlaku pada tengah hari Rabu lalu di Seberang Prai, Pulau Pinang.

 

Pesanan dibatalkan berikutan pelanggan tidak dapat dihubungi.

Pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu, selain penghantar makanan tidak dapat dihubungi, lokasi penghantaran juga didapati tidak lengkap.

“Walaupun syarikat yang bayar ganti rugi kepada kedai, tetapi pelanggan kena tahu yang kami sebagai penghantar makanan kejar masa untuk mendapatkan komisyen.

“Bila lokasi penghantaran tak lengkap, saya tercari-cari tengah panas. Pelanggan pula tidak dapat dihubungi, masa tu terdiam sebab terkilan,” katanya ketika dihubungi sambil menjelaskan dia tidak membatalkan pesanan tersebut, sebaliknya khidmat sokongan, berikutan pelanggan tidak dapat dihubungi.

 

Anas memikirkan tentang sejumlah minuman yang tidak dapat dihantar kepada pelanggan.

Anas berkata, pesanan berjumlah kira-kira RM110 itu meliputi sembilan minuman sejuk, yang boleh melegakan tekak sekumpulan individu ketika cuaca panas.

“Saya terfikir-fikir, adakah saya perlu jual atau buang saja pesanan itu. Buat apa saya nak jual kerana ia bukan milik saya, kalau nak buang pula membazir.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukannya ketika cuaca panas terik,” ujarnya yang juga berasal dari Seberang Prai.

 

Anas memberikan air minuman kepada penghantar barang dan makanan.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, individu-individu yang menerima minuman tersebut terdiri daripada dua penghantar makanan, empat penjual jeruk mangga dan dua pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Dalam cuaca panas terik tu, saya dipertemukan dengan orang yang benar-benar memerlukan minuman. Rider tu saya jumpa di tepi jalan, penjual jeruk mangga berniaga dekat persimpangan jalan dan pelajar yang duduk berteduh di hentian bas.

 

 

Saya pernah berhenti di tepi jalan untuk berehat sebentar di tengah panas terik. Tekak rasa kering haus sangat nak minum air tapi perlu sambung ambil dan hantar pesanan pelanggan.

 

ANAS MANSOR

 

“Ada seorang lagi yang saya tak rakamkan dalam video, turut menerima baki air minuman. Saya serahkan kepada seorang budak lelaki berusia lingkungan 10 tahun dekat sebuah taman permainan di sebuah pangsapuri.

“Dia mulanya takut-takut, tapi saya maklumkan air minuman tersebut adalah percuma. Dia ambil, mengucapkan terima kasih sebelum berlari untuk berjumpa dengan seseorang yang mungkin kawannya,” ujarnya yang bertugas sebagai penghantar makanan sejak hampir setahun lalu.

 

Penjual jeruk manggsa (kiri) dan pelajar sekolah turut menerima minuman percuma.

Anas yang kini menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) di Kuala Kangsar, Perak, menyelami situasi dan perasaan yang dialami penerima-penerima air minuman berkenaan.

“Hujan panas adalah perkara biasa bagi kami untuk mencari rezeki. Saya pernah berhenti di tepi jalan untuk berehat sebentar di tengah panas terik. Tekak rasa kering haus sangat nak minum air tapi perlu sambung ambil dan hantar pesanan pelanggan.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan kepada pelanggan supaya pastikan alamat penghantaran benar-benar lengkap selain mudah untuk dihubungi, malah meletakkan nota sekiranya pesanan dibuat untuk orang lain.

“Bukan setakat pelanggan je nak cepat dapatkan pesanan, kami juga kejar masa untuk buat penghantaran lain. Adalah lebih baik kita memudahkan antara satu sama lain,” katanya.

 

 

facebook LIKE UTK TERIMA UPDATE TERKINI & KLIK [X] UTK TUTUP--> Button Close

Like kami di facebook untuk menerima update terkini terus ke wall facebook anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.