Pemuda belajar sesuatu daripada penjual nasi lemak selepas lalu kawasan perkuburan jam 5 pagi – “Selalu saya sanggup guna jalan jauh” – Viral

DALAM rezeki kita, ada rezeki orang lain.

Begitulah yang dapat disaksikan menerusi kesungguhan seorang pemuda berkongsi rezeki dengan seorang penjual nasi lemak, pada awal pagi.

“Pakcik ni seawal 4.30 pagi meniaga. Istiqomah setiap hari,” tulisnya menerusi perkongsian video di laman TikTok.

Pemuda berkenaan, Ahmad Ariff Firdaus Ahmad Taufik berkata, dia singgah ke gerai yang diusahakan seorang lelaki warga emas di Ayer Molek, Melaka, pada pagi Jumaat.

 

Nasi lemak dan pelbagai jenis kuih dijual di gerai.

Lebih mesra disapa Ariff, katanya, ketika itu dia dalam perjalanan dari rumahnya di Ayer Molek ke tempat kerja di sebuah kilang di Ayer Keroh.

“Ini pertama kali saya singgah ke gerai nasi lemak pakcik tu sebab selama ni saya sering menggunakan laluan alternatif di Jalan Duyung.

“Sejak November tahun lalu, lebih 700 kakitangan dibahagikan kepada dua syif. Pagi bermula 6 pagi dan 3 petang untuk syif petang.

“Jadi, hari tu saya gerak awal pukul 5 pagi dan singgah ke gerai pakcik tu terlebih dahulu untuk beli sarapan sebab lapar,” katanya yang berusia 29 tahun kepada mStar.

 

Ariff menghulurkan duit untuk sedekah nasi lemak kepada orang lain dan membeli buat dirinya sendiri.

Mengulas lanjut, Ariff berkata, jalan alternatif ke tempat kerjanya sebenarnya lebih jauh berbanding Jalan Ayer Molek yang melalui gerai pakcik berusia 60an itu.

“Saya pernah je lalu sebelum ni, tapi beberapa kali terserempak dengan babi hutan yang melintas. Jalan di situ pula lebih gelap, jadi kena hati-hati kalau memandu di awal pagi.

“Tambahan pula rumah pakcik tu berhadapan dengan tanah perkuburan Islam dan jirat Cina di sepanjang jalan kira-kira 700 meter. Jadi, dalam keadaan gelap sebegitu, lebih baik saya melalui jalan yang lebih selesa,” ujarnya yang menetap di Ayer Molek sejak 2017.

Dia yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor bagaimanapun tergerak hati untuk lalu di jalan itu, pagi Jumaat lalu, dan singgah sebentar ke gerai nasi lemak tersebut.

 

Pakcik itu pula mahu bersedekah kepada Ariff.

Bukan sekadar itu, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu juga terdetik hati mahu bersedekah dengan membeli sejumlah nasi lemak bungkus.

“Dalam dompet ada RM50, jadi saya beritahu pakcik tu nak beli nasi lemak RM30 dan sedekahkan kepada orang yang datang. Pakcik tu kata 20 bungkus untuk RM30.

 

 

Saya percaya kalau kita berkongsi rezeki dengan orang, insyaAllah rezeki kita akan diperluaskan

 

AHMAD ARIFF FIRDAUS AHMAD TAUFIK

 

“Saya pula beli dua bungkus untuk saya makan di tempat kerja dan hulurkan duit. Pakcik tu serahkan baki, tapi dia hanya ambil RM30 untuk nasi lemak yang saya hendak sedekahkan.

“Tapi saya sebak bila pakcik tu pula sedekah kat saya dua bungkus nasi lemak. Saya nak bersedekah, pakcik tu pun mahu bersedekah,” katanya sambil menambah bahawa gerai tersebut turut menjual pelbagai jenis kuih seperti seri muka, karipap dan koci.

 

Ariff percaya rezeki lebih murah sekiranya bersedekah. foto instagram arifflubis90

Ariff yang merupakan eksekutif teknikal dan juga jurugambar sambilan itu menyifatkan kemurahan hati lelaki warga emas tersebut berniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dipuji.

“Walaupun PKP, pakcik tu berusaha keluar awal pagi untuk mencari rezeki. Katanya, nasi lemak tu isteri dia yang masak, di gerai pula dibantu oleh anak lelakinya yang akan bersiap ke tempat kerja.

“Kenapa saya bersedekah walaupun kat tangan cuma ada RM50 je sebab saya percaya kalau kita berkongsi rezeki dengan orang, insyaAllah rezeki kita akan diperluaskan.

“Walaupun saya tahu gerai pakcik tu dekat jalan yang lebih gelap, ada babi hutan melintas dan dekat kawasan kubur… tapi kerana sikap pakcik tu yang peramah dan pemurah, serta nasi lemak pun sedap, insyaAllah saya akan datang lebih kerap ke gerainya selepas ini,” katanya.

facebook LIKE UTK TERIMA UPDATE TERKINI & KLIK [X] UTK TUTUP--> Button Close

Like kami di facebook untuk menerima update terkini terus ke wall facebook anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.