TERKINI: Bunuh 51 Orang Islam Dalam Tembakan Rambang di Christchurch, Brenton Tarrant Dipenjara Sepanjang Hayat

Brenton Tarrant, 29, yang telah menyerang dan membuat tembakan rambang di dua buah masjid dekat Christchurch, New Zealand tahun lepas, akhirnya dikenakan hukuman setimpal!

Menurut Harian Metro, Brenton yang berasal dari Australia telah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat oleh Hakim Cameron Mander yang turut menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

Prosiding itu berlangsung sejak Isnin lalu di mana Brenton juga telah berdepan dengan mangsa-mangsa serangan yang terselamat. Lebih 90 ahli keluarga mangsa yang terkorban dan terselamat telah memberikan kenyataan impak mangsa (VIS) sebelum hakim menjatuhkan hukuman hari ini.

Sepanjang mendengar kenyataan daripada mereka, Brenton dilihat langsung tidak menunjukkan sebarang emosi dan hanya mendiamkan diri, meskipun telah diberi peluang untuk bercakap sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Mahkamah dilaporkan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan anjing pengesan sepanjang prosiding berlangsung bagi membantu memeriksa individu yang memasuki bangunan mahkamah.

Brenton juga sebelum ini diletakkan di dalam lokap yang terletak di bahagian bawah bangunan itu bagi mengurangkan risiko keselamatan ketika perjalanan pergi dan pulang ke penjara.

Pada 15 Mac 2019, Brenton telah menyerang dua buah masjid di Christchurch dan melepaskan tembakan rambang terhadap umat Islam ketika menghadiri solat Jumaat sambil membuat live streaming di Facebook. Tragedi itu telah mengorbankan 51 nyawa termasuklah rakyat Malaysia.

Baca: “Aku tak boleh maafkan kau” – Detik Brenton Tarrant Berdepan Dengan ‘Survivor’ Tembakan Masjid Christchurch


sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.